MALAM MALAYSIA.
Hang Tuah atau Si Kitol kah kita?
Sebagai bekas pelajar luar negara, saya mempunyai pandangan sebagai seorang anak Malaysia yang bangga dengan keindahan negara kelahiran saya. Saya bangga hidup berbilang kaum. Saya bangga hidup dalam rencah budaya yang pelbagai. Jujur, saya lebih menghargai Malaysia apabila saya melangkah keluar dari tanah air sendiri. Malaysia lebih daripada keluarga saya. Malaysia menyimpan rindu saya pada jiran, makanan, keagamaan dan seremeh-remeh perkara- iklan di TV. Semuanya sangat berbeza setelah 21 tahun membesar di Malaysia.
Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam mempersembahkan apa itu Malaysia. Sempurna. Daripada aspek lakonan yang saya pernah mengalirkan air mata, tarian yang menggerak juga kaki saya di kerusi penonton, nyanyian yang membuat saya terpaku pada seni katanya dan warga kerja yang mengangkat ‘prop’ dengan sangat efisien. Saya bangga melihat anak muda Malaysia yg bukan sahaja bijak malah kreatif.
Namun bicara pandangan peribadi saya hari ini lebih kepada pengisian sesetengah persembahan Malam Malaysia. Saya berharap kita semua dapat berlapang dada dan saya terbuka untuk menerima pandangan sebaliknya.
Naif. Dengan naifnya, saya selalu terbayang, pada satu malam, saya dapat menonton tentang keindahan Malaysia. Menghilangkan rasa rindu pada Malaysia dengan persembahan yang menceritakan suasana di tanah air. Persembahan yang saya kira akan menceritakan dengan baik sekali tentang latar belakang saya pada masyarakat luar negara.
Tiga tahun. Tiga tahun saya dipersembahkan dengan jalan cerita yang saya kira apabila saya melangkah keluar, akan membuat saya takut untuk pulang ke Malaysia. Saya takut dengan perspektif masyarakat luar terhadap Malaysia. Malaysia kadangkala digambarkan mempunyai hikayat yang tiada bermoral. Malaysia mempunyai kebejatan sosial yang tiada diambil tindakan yang efektif. Tiada peluang untuk mempertahankan nama baik Malaysia kerana persembahan ini merupakan komunikasi mesej bersifat satu hala.
Saya sering tertanya-tanya. Mengapa hendak kita gunakan peluang 2 jam untuk satu malam yang hening dengan penceritaan betapa buruknya latar belakang kita. Bagai membuka pekung di dada. Sedangkan, memetik satu kicauan di Twitter, “Sebenarnya masih ada lagi kedamaian di Malaysia. Bangun pagi makan nasi lemak di kedai Melayu, baiki kereta di kedai Cina dan potong rambut di kedai India”.
Mengapa kita tidak mengambil peluang untuk mengajar masyarakat dunia tentang konsep damai ini? Mengapa tidak kita ceritakan betapa hebat anggota keselamatan mempertahankan negara biarpun usaha itu tampak kecil di mata dunia, tapi berbunga mekar di hati kita. Pada akhirnya, biarlah kita mengukur baju di badan sendiri. Biar usai kita melangkah keluar dari dewan itu, kita boleh berbicara pada rakan sebelah betapa bangganya memegang status warganegara Malaysia. Tentang jerih perih kita membangunkan negara yang ditinggalkan bagai padang jarak padang terkukur, kini berdiri bersaing negara maju yang lain. Apakah tidak ada langsung yang boleh kita megahkan?
Salahkah kita menyentuh hal sensitif dan berat?
Boleh. Tetapi bagi pendapat saya, hal ini lebih molek dipetik di dalam program berbentuk dialog supaya ada pelbagai pandangan dan penyelesaian dapat diberikan. Kita berbicara tentang isu atau masalah tentang negara kita. Biarlah kita hadirkan panel Profesional agar satu titik solusi dapat kita angkat dan bawa pulang ke tanah air. Itulah maksud kita benar-benar mengambil berat tentang negara kita.
Bukannya kita sekadar mencanang masalah tetapi tiada berfikir solusinya. Jangan kita menjadi Si Kitol yang menceritakan tentang kelemahan benteng pertahanan Kota Melaka sehingga akhirnya Melaka jatuh ke tangan penjajah. Sebaliknya, jadilah seperti Tuah yang megah berbicara “Takkan Melayu hilang di dunia” atau lebih relevan pada zaman sekarang “Takkan Malaysia hilang di dunia”. Bangga saya melihat pencapaian hebat anak-anak Malaysia di peringkat global. Sekalung apresiasi buat mereka.
Menjulang dan mengekalkan kebudayaan Malaysia juga sesuatu yg sensitif dan berat. Tidak boleh sesuka hati dipersembahkan tanpa diangkat nilai di sebaliknya. Mereka mempersembahkan tarian yang cukup cantik dan sempurna. Mengapakah tidak kita angkat dan julang usaha mereka itu bersama-sama dalam jalan cerita yang hendak kita sampaikan? Jangan biarkan mereka sekadar hadir untuk menghiburkan. Jadikan mereka sebahagian daripada ceritanya.
Saya faham sekali mesej sebenar setiap kali persembahan itu selesai- supaya kita keluar dari dewan itu dengan kesedaran bahawa pelbagai masalah Millennia yang sedang berlaku di Malaysia. Namun, biarlah kita keluar bersama dengan solusi yang bernas. Bukannya dengan perasaan kecewa dengan negara kita sendiri.
Tiada obligasi untuk memuaskan hati sesiapa dalam entri kali ini. Sekadar untuk kita pertimbangkan untuk generasi muda di luar negara.
*Entri ini ditulis sebagai pandangan peribadi Penulis, setelah tidak memegang apa-apa jawatan dan bukan lagi berstatus pelajar bagi mengelakkan kaitan dengan mana-mana organisasi.